| |
|
MAZHAB |
Mazhab ialah bahagian pemikiran atau fiqh dalam Islam.
Dalam Islam sebenarnya ada banyak mazhab. Hal ini kerana ulama yang
berkemampuan dari kalangan sahabat Nabi, tabiin dan tabi’ Al-Tabiin
yang mempunyai cukup syarat dan keperluan berijtihad adalah ramai.
Bagaimanapun, mengikut pendapat ulama, mazhab muktabar yang boleh
dibuat pendapat dan beramal untuk umum cuma empat mazhab, mengikut
qaul yang rajih.
Bagi Islam Sunni, ada 4 mazhab iaitu Syafie, Maliki, Hanafi dan
Hanbali. Keempat-empat mazhab ini mempunyai peraturan, kaedah dan
panduan yang sempurna lagi lengkap yang ditulis oleh mereka dalam
kitab masing-masing. Ia menjadi bahan tidak ternilai dalam
perbendaharaan undang-undang Islam. Mazhab lain, tidak mempunyai
kaedah cukup yang dibukukan untuk dijadikan panduan dalam bidang
perundangan sebagaimana yang empat tadi. Umat Islam di Malaysia,
Brunei, Filipina, Thailand dan Indonesia kebanyakannya mengikuti
mazhab Syafie.
Bagi Shiah pula, mazhab mereka ialah Jafari, yang diasaskan oleh
Imam Ja'far as-Sidiq.
Mazhab dalam Kristian pula sering kali disebut denominasi.
Jadual kandungan [sorok]
• Mazhab Hanafi
• Mazhab Maliki
• Mazhab Syafie
• Mazhab Hanbali
Mazhab Hanafi
Mazhab Hanafi diasaskan oleh Nu’man bin Tsabit. Beliau lahir pada
tahun 80 Hijrah. Beliau adalah seorang berjiwa besar dan berakhlak
tinggi. Beliau seorang yang bijak dalam ilmu pengetahuan. Cekap
memberikan satu-satu keputusan bagi masalah yang dihadapi.
Oleh kerana beliau seorang berpengetahuan, bijak dan berakhlak mulia,
maka dapat membuat perhubungan rapat dengan pembesar negara.
Beliau mendapat tempat baik dalam masyarakat dan berjaya menyandang
jawatan tinggi dalam pemerintahan.
Iman Abu Hanifah terkenal sebagai seorang alim dalam ilmu fiqh di
Iraq. Beliau juga sebagai ketua ahli fikir (ahli ra’u). Golongan
cerdik pandai pada masa itu menyifatkan beliau sebagai "akal dalam
ilmu pengetahuan."
Ketika hayatnya, beliau dapat mengikuti pelbagai perkembangan ilmu
pengetahuan, baik di bidang ilmu dan politik mahupun ilmu agama.
Zaman beliau dikenali sebagai zaman pertumbuhan politik, agama serta
ideologi dan ism yang pelbagai.
Beliau dapat hidup dalam dua zaman pemerintahan Umaiyyah dan
Abbasiyah.
Sesungguhnya Abu Hanifah seorang yang luas pemikiran dan banyak ilmu.
Tetapi beliau sangat merendah diri. Beliau tidak terpedaya dengan
fikirannya sendiri
Mazhab Maliki
Pengasas mazhab Maliki ialah Malik Bin Anas. Beliau lahir di kota
Madinah pada tahun 93 hijrah.
Imam Malik dilahirkan 13 tahun selepas kelahiran Iman Abu Hanifah.
Sewaktu hidupnya, Iman Malik mengalami dua corak pemerintahan iaitu
Ummaiyah dan Abbasiyah, di mana pertelingkahan sengit dua
pemerintahan sering berlaku. Pada masa itu juga pengaruh ilmu
pengetahuan Arab, Parsi dan Hindi tumbuh dengan suburnya di kalangan
masyarakat. Iman Malik menghafaz al-Quran dan hadis Rasulullah.
Ingatannya sangat kuat. Beliau mendengar hadis daripada guru.
Kemudian terus disimpulkan tali bagi menyenangkan perhitungan
bilangan hadis yang pelajarinya.
Pada permulaan hidupnya, Imam Malik bercita-cita menjadi biduan
tetapi ibunya menasihatkan supaya beliau memadam hasrat itu. Ibunya
kemudian mahukan anaknya mempelajari ilmu fiqh. Beliau menerima
nasihat ibunya dengan baik. Iman Malik adalah seorang guru miskin.
Pernah suatu hari, kayu bumbungnya rumahnya roboh. Beliau kemudian
menjual kayu itu untuk mendapat sedikit wang untuk perbelanjaan
hidupnya. Namun, Allah murahkan rezekinya hingga menjadi kaya.
Dengan kedudukan itu, beliau memakai pakaian mahal dan bau-bauan
yang baik. Imam Malik adalah seorang yang cergas dalam menuntut ilmu.
Beliau banyak membuat hubungan dengan ahli hadis dan ulama. Imam
Malik dianggap sebagai ketua atau imam bagi ilmu hadis. Sanad (sandaran)
yang dibawa oleh beliau, termasuk salah satu sanad terbaik dan benar.
Imam Malik adalah seorang yang dipercayai, adil dan kuat ingatannya
serta cermat dan halus memilih rawi-rawi hadis. Pendek kata, Imam
Malik adalah orang yang tidak diragui dalam konteks ini. Imam Malik
tetap berpegang teguh pada ajaran Rasulullah bahawa hadis itu
petunjuk dan penyuluh kepada manusia. Seseorang tidak harus
meninggal dan membelakangkannya.
Sebelum Imam Malik menjadi guru, beliau terlebih dahulu mendalami
ilmu yang dipelajarinya hingga kadang-kala tidak tidur. Selepas
fikirannya matang dan benar-benar berkebolehan, barulah beliau
mengajar. Hukum fiqh yang diberikan oleh Imam Malik berdasarkan al-Quran
dan hadis. Imam Malik menjadikan hadis sebagai pembantu bagi
memahami al-Quran. Beliau juga sangat cermat dalam memberi
penerangan dan hukum. Imam Malik berfikir panjang sebelum memberi
satu-satu hukum atau fatwa.
Beliau pernah berkata: “Kadang-kala aku berjaga satu malam suntuk
untuk mencari jawapan bagi satu-satu soalan yang dikemukakan kepada
aku.” Apabila beliau ditanya satu-satu hukum, beliau terus berkata
kepada penanya : “Pulanglah dulu supaya aku dapat berfikir.” Ramai
manusia merendah-rendahkan Imam Malik kerana beliau melewat-lewatkan
menjawab sebarang pertanyaan. Imam Malik menangis dan berkata “Aku
bimbang kerana aku akan disoal satu hari nanti (hari kiamat)”.
Mazhab Syafie
Mazhab Syafie diasaskan oleh Muhamad bin Idris Al-Syafie. Beliau
dilahirkan pada tahun 105 hijrah di sebuah bandar yang bernama
Ghizah di Palestin.
Inilah tarikh paling masyhur di kalangan ahli sejarah.
Imam Syafie adalah keturunan Bani Hashim dan Abdul Mutalib.
Keturunannya bertemu dengan keturunan Rasulullah di sebelah datuk
Baginda iaitu Abdul Manaf.
Beliau seorang miskin, tetapi kaya dengan semangat dan bercita-cita
tinggi dalam menuntut ilmu. Beliau banyak mengembara dalam mencedok
dan menimba ilmu.
Imam Syafie dianggap seorang yang dapat memadukan antara hadis dan
fikiran serta membentuk undang-undang fiqh. Pada permulaannya beliau
cenderung dalam bidang sastera dan syair,
tetapi mengubah pendiriannya kepada mempelajari ilmu fiqh dan hadis
hingga ke tahap paling tinggi.
Imam Syafie ialah imam ketiga mengikut susunan tarikh kelahiran
mazhab empat serangkai.
Beliau adalah penyokong kepada ilmu hadis dan pembaharuan agama (mujaddid)
bagi abad yang ke-2 hijrah. Imam Ahmad Bin Hanbal pernah berkata:
“Diceritakan kepada Nabi Muhamad bahawa Allah menghantar kepada umat
ini seorang pembaharu kepada agama, Umar Bin Abdul Aziz dihantar
untuk abad yang pertama dan aku harap Imam Syafie adalah mujaddid
abad yang kedua.”
Ketika muda, Imam Syafie, hidup dalam kemiskinan, hingga beliau
terpaksa mengumpul batu-batu, belulang, pelepah tamar dan tulang
untuk ditulis di atasnya. Beliau kadang-kala terpaksa ke tempat
perhimpunan orang ramai meminta kertas untuk menulis pelajarannya.
Imam Syafie menghafaz al-Quran dengan mudah iaitu ketika masih kecil
lagi. Beliau menghafaz dan menulis hadis.
Beliau sangat tekun mempelajari kaedah dan nahu bahasa Arab. Untuk
itu, beliau pernah mengembara ke kampung dan tinggal bersama puak
Hazyal selama 10 tahun. Hal ini kerana puak Hazyl terkenal sebagai
kabilah yang paling baik bahasa Arabnya.
Imam Syafie banyak menghafaz syair dan qasidah daripada puak Hazyl.
Beliau juga banyak menumpukan masa dan tenaganya kepada sastera dan
sejarah pada masa mudanya. Namun, Allah menghendaki dan melorongkan
kepadanya dalam bidang ilmu fikah.
Antara sebabnya, pada suatu hari Imam Syafie bersyair sambil
menunggang kuda bersama seorang lelaki. Lalu berkata lelaki itu :
“Tidak sesuai engkau bersyair kerana itu boleh menjatuhkan maruah.
Alangkah baiknya belajar ilmu fiqh?”
Kata-kata itu sangat memberi kesan kepada Imam Syafie. Sejak itu
beliau menumpukan masa dan tenaga kepada ilmu fiqh.
Salah seorang guru Imam Syafie dalam pelajaran ilmu fiqh dan hadis
ialah Imam Malik.
Ilmu fiqh yang dibawa oleh Imam Syafie adalah satu zaman
perkembangan ilmu fiqh dalam sejarah perundangan Islam. Hal ini
kerana beliau yang menghimpun atau menyatukan ilmu fiqh ahli akal
dan fikir dengan ilmu fiqh ahli akal dan hadis.
Ilmu fiqh Imam Syafie adalah ikatan sunnah dan qias serta pemikiran
dengan beberapa pertimbangan dan sekatan. Hal ini demikian kerana
ilmu fiqh yang menetapkan cara atau peraturan untuk memahami al-Quran
dan hadis. Ia juga menetapkan kaedah pengeluaran hukum dan
kesimpulannya.
Lantaran itulah beliau berhak dianggap penaja bagi ilmu usul fiqh.
Mazhab Hanbali
Pengasas mazhab Hanbali ialah Ahmad bin Mohamad bin Hanbal. Beliau
lahir di bandar Baghdad pada tahun 164 hijrah.
Ibnu Hanbal dari keluarga miskin. Sewaktu bapanya meninggal dunia,
keluarganya tidak ditinggalkan harta yang banyak kecuali sebuah
rumah kecil yang didiaminya. Untuk menampung kehidupan, beliau
terpaksa bekerja di kedai jahit.
Ibnu Hanbal menuntut ilmu sepanjang hayatnya. Beliau mempelajari
hadis hingga menjadi seorang imam.
Seseorang pernah berkata kepadanya: “Sampai bilakah engkau hendak
menuntut ilmu? Padahal engkau sudah mencapai darjat paling tinggi
dan engkau telah menjadi imam bagi seluruh umat Islam?”
Imam Ibnu Hanbal menjawab: “Aku menuntut ilmu dari hujung dunia
hingga ke pintu kubur.”
Memang benar beliau tidak pernah jemu menuntut ilmu sepanjang
hayatnya.
Imam Syafie adalah salah seorang guru beliau. Ibnu Hanbal bertemu
Imam Syafie di Hijaz, sewaktu beliau menunaikan haji. Pada waktu itu,
Imam Syafie mengajar di Masjidil Haram.
Ibnu Hanbal mempelajari ilmu daripadanya. Mereka kemudian bertemu
kali kedua di Baghdad. Imam Syafie menasihatinya supaya mengikutnya
ke Mesir. Imam Ibnu Hanbal bercadang mengikutinya tetapi niatnya
tidak kesampaian.
Petikan daripada Jabatan Agama Islam Selangor
|
|
 |
|
|
 |
|
Copyright © 2003-2008
Majalah Syu'latul Kifah -
Sekolah Menengah Agama Parit Raja, Batu Pahat, Johor. |
Edisi 5
Tahun 2007 |
|
 |
|
|