| |
|
KISAH PENJUAL
TEMPE |
Ada sebuah kampung di pedalaman, di situ tinggal seorang perempuan
tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan
menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber
pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan
tempe yang dibuatnya sendiri.
Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap
untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya
yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi,
separuh jadi.
Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya
beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah memang kesemuanya belum
masak lagi.
Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum
menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari
itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat
beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah
dapat melakukan perkara-perkara ajaib, ahawa bagi Nya tiada yang
mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Ya
Allah, aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin"
Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia
sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang
perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung
jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan
keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung
seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.
Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang
jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya
semula dan berdoa lagi. "Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang
mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual
tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah
kacang soyaku ini kepada tempe, Amin".
Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit
bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila
tempenya masih tetap begitu!!
Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula
didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum
terkabul.Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia
bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu.
Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian
ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar
kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Tuhan
akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar.
Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya
untuk berdoa. "Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku.
Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah
keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun
berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa
di dalam hatinya.
Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya.
Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi.
Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan
menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.
Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat
isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!!
Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya
sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Tuhan kerana
doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak
kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan
tempe. Dia akhirnya hanya duduk sahaja tanpa mempamerkan barang
jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli
tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin
petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.
Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka
sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup
menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh
dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan
terakhir kepada Tuhan, pasti Tuhan akan menolongnya. Walaupun dia
tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung,
namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah, berikanlah
penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.
"Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang
belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk
mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi."
Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab
sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun
pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab
sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam
hatinya "Tuhan, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi.
Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".
Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun
penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar
tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan
bersyukur pada Tuhan.
Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi
itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa
hendak membeli tempe yang belum jadi?"
Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England
teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan
dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum
jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe
yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di
sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.
Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya
sudah pun dimakbulkan oleh Allah...
Moral:
Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Yang Maha Esa
sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang
kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.
Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita
sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa
terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Allah akan mengabulkan
doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan
kita.
Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Allah.
Sumber:
http://www.familiazam.com/kisah_penjual_tempe.htm
|
|
 |
|
|
 |
|
Copyright © 2003-2008
Majalah Syu'latul Kifah -
Sekolah Menengah Agama Parit Raja, Batu Pahat, Johor. |
Edisi 5
Tahun 2007 |
|
 |
|
|