JIKA KITA DITAKDIRKAN BEGINI
Suatu pagi aku terbangun dan berpeluang melihat mentari terbit. Aaahh… kecantikan alam ciptaan Allah memang tiada tolok bandingnya. Sedang aku memerhati, aku puji Tuhan atas segala keindahan yang disajikanNya itu. Aku duduk dan terasa kewujudannya. Lalu terjadilah perbualan yang menginsafkanku.

Apabila Dia bertanya kepadaku, “Adakah kamu mencintai Aku?” lalu aku menjawab, “Sudah tentu! Engkaulah penciptaku, masakan aku tidak mencintaiMu”.

Apabila Dia bertanya, “Jika kamu ditakdirkan cacat anggota, adakah kamu akan mencintaiku?” Aku lihat tangan, kaki dan seluruh anggotaku, aku teringat pelbagai kerja yang mustahil aku lakukan tanpa anggotaku yang selama ini kusedari kepentingannya. Lalu aku jawab, “Tentunya ia amat sukar bagiku, tetapi aku akan tetap mencintaiMu”.

Apabila Dia bertanya, “Jika kamu ditakdirkan buta, adakah kamu akan menyayangi segala ciptaanKu?” Bagaimana aku mencintai sesuatu yang tak mampu kulihat, tapi aku terfikir ramai orang yang ditakdirkan buta di dunia ini masih mencintai Allah dan segala ciptaanNya. Lalu aku menjawab, “ Amat sukar bagiku membayangkan keadaanku yang sedemikian rupa, namun aku tetap menyintaiMu, ya Allah!”

Apabila Dia terus bertanya “Adakah kamu benar-benar menyintaiKu?” Dengan nada yang tegas dan penuh keberanian aku menjawab, “Ya, benar Tuhanku, aku menyintaiMu kerana Engkaulah satu-satunya Tuhanku dan Tuhan yang sebenar!”

Aku fikir jawapanku tadi sudah cukup bagus untuk menjawab semua pertanyaanNya tadi, tetapi Dia bertanya lagi, “Kalau begitu, mengapa kamu masih melakukan dosa?” Aku jawab, “Kerana aku cuma manusia biasa yang selalu lalai, aku tidak sempurna ima, aku bukan maksum”.

Dia terus bertanya “Kalau begitu kenapa ketika kamu senang dan gembira, kamu lupa akan Aku, kamu lari jauh daripadaKu, tetapiketika kamu susah atau mahukan bantuan, kamu terus ingat kepada Aku, kamu datang dekat dan merayu kepada Aku? Mengapa kamu kadang kala sujud menyembahKu dan kemudian membelakangiKu, tidak pedulikan Aku?

Mengapa kamu sering membuat alasan ketika Aku memberi peluang untuk berkhidmat di jalanKu? Mengapa kamu meminta kepadaKu sedang kamu tidak setia kepadaKu? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Ku rasakan titisan panas mengalir deras membasahi pipiku tanpa henti. Aku tidak mampu berkata apa-apa lagi.

Hasil Nukilan:
Amnani Syahadah
 

 
Copyright © 2003-2008 Majalah Syu'latul Kifah - Sekolah Menengah Agama Parit Raja, Batu Pahat, Johor.

Edisi 5 Tahun 2007