ANTARA DEMI DAN UNTUK
PERSOALAN tentang “demi” dan “untuk” sudah lama ditimbulkan, dan banyak orang telah memperkatakannya. Namun, masih ada yang kurang jelas lagi. Oleh itu, saya berasa terpanggil untuk menyentuh perkara ini lagi.

Seperti banyak perkataan lain dalam bahasa Melayu, “demi” dan “untuk” dapat digunakan dalam pelbagai cara dan membawa pelbagai nuansa makna. Namun terdapat satu makna yang ada pada kedua-dua perkataan yang menjadikannya sama.

Jika dilihat dalam kamus, salah satu makna “demi” adalah untuk, seperti dalam ayat ini: (1) Kita berjuang demi bangsa dan negara. “Demi” dalam ayat ini boleh bertukar ganti dengan “untuk”, seperti dalam ayat berikut: (2) Kita berjuang untuk bangsa dan negara.

Dalam kedua-dua ayat ini, “demi” dan “untuk” berfungsi sebagai kata sendi nama. Oleh sebab kedua-duanya tergolong dalam golongan kata yang sama, iaitu sendi nama, dan membawa makna yang sama juga, maka penggunaan dua perkataan secara berderetan dianggap kurang tepat, seperti dalam ayat berikut: (3) Kita berjuang demi untuk negara dan bangsa.

Ayat ini dianggap kurang sesuai oleh sebab perkataan “demi untuk” dianggap lewah. “Demi” sahaja atau “untuk” sahaja sudah mencukupi, seperti yang terdapat dalam ayat (1) atau (2). Ayat (3) dikatakan lewah oleh sebab dua kata sendi nama hadir berderetan.

Dengan kata lain, ayat (3) Kita berjuang demi untuk bangsa dan negara tidak dianggap ayat yang baik dalam bahasa Melayu, walaupun ayat ini kerap didengar kerana sering digunakan oleh masyarakat. Yang penting ialah kita membetulkan mereka dengan menyatakan bahawa binaan dua kata sendi nama tidak boleh berlaku dalam bahasa Melayu.

Satu lagi kesalahan yang kerap berlaku berdasarkan sebab yang sama ialah penggunaan kata sendi nama “hingga” dan “ke”, seperti dalam ayat berikut: (4) Saya menunggu mereka hingga ke pukul 10.00 malam. Di sini, “hingga” dan “ke” membawa maksud yang sama, iaitu yang menyatakan had masa, waktu atau tempat. Oleh sebab kedua-duanya merupakan kata sendi nama, maka penggunaan salah satu daripadanya sudah mencukupi, yakni sama ada (5) Saya menunggu mereka hingga pukul 10.00 malam atau (6) Saya menunggu mereka ke pukul 10.00 malam.

Yang menarik untuk direnung adalah mengapa ini berlaku. Sebenarnya, mengulang untuk menimbulkan aspek penegasan merupakan satu kebiasaan orang Melayu. Jikalau kita hendak menyatakan sifat miskin, kita tidak puas hati dengan menyatakan perkataan “miskin” sahaja, kita tambah satu lagi sinonim atau perkataan seerti, iaitu “fakir”, menjadikannya “fakir miskin”.

Demikian juga dengan “sahabat handai”, atau “rakan taulan”, dan “jerit pekik”, “tempik sorak”, dan “penat lelah”. Pasangan perkataan ini membawa makna yang sama dan digunakan untuk menegaskan maksud. Tindakan ini tidak salah kerana yang dicantumkan itu ialah dua perkataan yang terdiri daripada golongan kata yang sama, dan diandaikan digabungkan dengan kata hubung “dan” yang telah digugurkan, iaitu sama ada dua kata nama (rakan dan taulan), dua kata adjektif (penat dan lelah). Sebab itu, kita juga bertemu dengan bentuk-bentuk tidak formal seperti “kasut but”, “pintu gate” dan “cuba try”.

Dalam kes “demi” dan “untuk” serta “hingga’ dan “ke”, golongan katanya sama, iaitu kata sendi nama. Dan mengikut peraturan tatabahasa bahasa Melayu, dua kata sendi nama tidak boleh dideretkan seperti dalam ayat-ayat yang dibincangkan di atas.

Kesimpulannya, mengulang perkataan yang sama makna untuk tujuan memberi penegasan, merupakan satu kebiasaan bagi orang Melayu. Tetapi penggunaan dua kata sendi nama secara berderetan tidak digalakkan kerana, walaupun menimbulkan aspek penegasan, namun amalan menderetkan dua kata sendi nama itu melanggar peraturan tatabahasa. Eloklah kita sedar akan aspek ini, untuk mengelakkan daripada membuat kesilapan ini.

Oleh: Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim

 
Copyright © 2003-2008 Majalah Syu'latul Kifah - Sekolah Menengah Agama Parit Raja, Batu Pahat, Johor.

Edisi 5 Tahun 2007